Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) baru-baru ini telah membantu pelajar lepasan sekolah bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dengan mengadakan program Perkampungan Menara Gading Peringkat Negeri Perlis Tahun 2019 selama 3 hari 2 malam. Seramai 67 orang pelajar lepasan sekolah terlibat dalam program yang diadakan ini.

Tujuan program ini diadakan ialah untuk melatih bakal mahasiswa agar bersifat dinamik dan progresif sebagai persediaan untuk kepimpinan negara pada masa akan datang berpandukan elemen-elemen kebitaraan serta kesukarelawan. Hasrat ini diusahakan dengan meletakkan tradisi budaya ilmu sebagai pra-syarat penting ke arah pembinaan sahsiah yang unggul, pembentukan bangsa yang mampan dan pembinaan tamadun yang tinggi.

Program Perkampungan Menara Gading Peringkat Negeri Perlis Tahun 2019 turut dipenuhi dengan aktiviti seperti debat, universiti medium pembinaan perwatakan, Le Tour De Campus dan Latihan Dalam Kumpulan. Mereka juga turut didedahkan tentang kehidupan di kampus dan diberikan latihan ke arah membentuk peranan mahasiswa dari segi kepimpinan dan pembentukan keperibadian yang unggul selaras dengan kehendak Islam.

Menurut Pengarah Program, Amirul Faris Razali berkata, "Program yang diadakan ini adalah diharapkan akan dapat melahirkan bakal mahasiswa yang berjiwa kental dan berketrampilan dalam mendepani arus globalisasi yang kian mencabar dalam pembentukan jasmani, emosi ,rohani dan intelektual yang mantap dalam mengharungi arus kehidupan."

Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PTSS, Rosnizam Kamis ketika merasmikan majlis penutupan ini berkata, "Melalui aktiviti yang telah diadakan ini diharapkan para pelajar lepasan SPM, STPM dan STAM dapat memahami dan merasai keadaan dan suasana kehidupan di kampus. Secara tidak langsung program ini akan menimbulkan minat para pelajar semua agar memohon untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi sama ada ke politeknik atau universiti. Saya amat berharap program ini meninggalkan kesan yang mendalam kepada pelajar dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan tempat pengajian di Institut Pendidikan Tinggi nanti setelah keputusan peperiksaan diumumkan."

Peserta program, Siti Rabiatul Aisyah Zakaria dari Sekolah Menengah Agama Al Alawiyah Ad Diniah, Arau, Perlis berkata, "Program yang diadakan ini berjaya menambah ilmu di kalangan pelajar supaya mereka tidak kekok apabila menyambung pelajaran di kampus sama ada di politeknik mahu pun universiti."

Alif Hakimi Mohamad Nor dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Arau, Perlis berkata, "Banyak perkara menarik dapat dipelajari dan dilakukan apabila menyertai program ini dan ilmu yang diperolehi dapat dijadikan panduan untuk memajukan diri."

Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan ketika ditemui berkata, "Program diadakan ini memberikan impak yang berkekalan, pelajar dapat merasai sendiri kehidupan di kampus hasil dari aktiviti yang dilaksanakan bukan setakat itu sahaja latihan yang diberikan dapat membentuk pelajar ke arah menjadi mahasiswa berdisiplin apabila mereka dapat menyambung pelajaran ke Institusi Pendidikan Tinggi nanti."

PENAFIAN

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) adalah tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan mana-mana maklumat dari laman sesawang ini.

Dasar Privasi  •  Dasar Keselamatan

HUBUNGI KAMI

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin
Pauh Putra, 02600 Arau, Perlis

Telefon : 604 988 6200

Faks : 604 988 6300

E-mel : info[at]ptss.edu.my