Arau - "Pengetahuan protokol dan penulisan teks ucapan penting dalam menjayakan sesuatu majlis", Roseliza Shaari, Timbalan Pengarah Akademik, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) berkata demikian ketika merasmikan Kursus Protokol dan Penulisan Teks Ucapan mewakili Pengarah PTSS, baru-baru ini di Dewan Cenderawasih, PTSS.
Menurut beliau lagi, pegawai dan pensyarah PTSS perlu diberikan pendedahan mengenai protokol kerana mereka sering terlibat dalam program dan aktiviti yang melibatkan protokol dalam pengurusan majlis. Pandangan sesetengah pihak yang menyatakan protokol sesuatu yang sukar dan menyulitkan adalah tidak tepat kerana apabila individu berkenaan memahaminya, ia boleh diaplikasikan kepada pelbagai bentuk majlis lain. Katanya lagi, penulisan teks ucapan pula penting bagi membolehkan pegawai dan pensyarah menulis teks ucapan yang berkualiti dan bernilai tinggi untuk disampaikan oleh para tetamu kehormat dan juga mengajar pelajar membuat penulisan teks ucapan yang betul agar berkemahiran membuat penulisan teks ucapan yang berkualiti.
Menyedari tentang kepentingan kursus ini diadakan, Unit Komunikasi dan Hubungan Korporat telah mengambil inisiatif untuk mengadakan kursus ini. Menurut Ahmad Razif Abdul Rashid, "Kursus ini diadakan dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara, Kampus Wilayah Utara, Sungai Petani, Kedah, Unit Protokol, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan Institut Perguruan Guru, Perlis." Menurut beliau lagi, kursus ini dianjurkan untuk memberi pengetahuan yang mendalam kepada Ahli Mesyuarat Pengurusan PTSS dan pensyarah tentang protokol dalam pengurusan majlis sempena Majlis Konvokesyen PTSS kali ke-13 yang akan diadakan penghujung Julai ini.
Salah seorang peserta kursus ini, Nadzri Che Kamis berkata, "Saya telah mendapat pengetahuan yang baru setelah menyertai kursus ini. Sebenarnya protokol bukanlah perkara yang sukar seperti dibayangkan. Sekiranya kita mengetahui prinsipnya, ia dapat diaplikasi dengan mudah dan berkesan dalam menjayakan sesuatu majlis."
Seramai 47 orang pegawai dan pensyarah PTSS terlibat dalam kursus yang telah diadakan ini yang berlangsung selama 2 hari.
Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) adalah tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan mana-mana maklumat dari laman sesawang ini.
Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin
Pauh Putra, 02600 Arau, Perlis
Telefon : 604 988 6200
Faks : 604 988 6300
E-mel : info[at]ptss.edu.my