Arau - Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) telah berjaya menjadi Juara Poly’s Voice 2019 Edisi ke-3 yang telah berlangsung di Politeknik Kuching, Sarawak baru-baru ini. Pertandingan ini merupakan platform mahasiswa politeknik dalam bidang pengacaraan. Peserta dari PTSS, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eikman telah dinobatkan sebagai Juara dan juga dipilih sebagai Ikon Warisan Poly’s Voice 2019.

Menurut Muhammad Nazmi, "Apa yang saya belajar dari Poly’s Voice ialah kita perlu bekerjasama antara satu sama lain. Dalam bidang pengacaraan kita perlu bawa keunikan dan sesuatu yang lain agar ia kelihatan lebih menarik." Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada semua pensyarah yang telah memberikan tunjuk ajar sehingga mencapai kejayaan ini.

Pensyarah pengiring beliau, Saiful Mohamed Shuib berkata, "Ini merupakan kali pertama PTSS muncul  juara setelah tiga kali menyertai pertandingan ini. Selama 4 hingga ke 5 bulan kita telah memberi kursus, bengkel dan latihan dalam pelbagai topik untuk mengulas topik dan kita bangunkan beliau dengan pelbagai personaliti agar dapat membawa diri dan menunjukkan sesuatu yang lain dan terbaik untuk Poly’s Voice kali ini."

Sementara itu, Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan berkata, "Kejayaan ini merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan kepada PTSS kerana PTSS mampu melahirkan pelajar yang berketrampilan dan boleh berkomunikasi di khalayak ramai." Katanya lagi, "Saya juga merakamkan ucapan syabas kepada Muhammad Nazmi dan pensyarah-pensyarah yang berkenaan kerana berjaya membimbing pelajar hingga berjaya menjadi juara dalam pertandingan ini."

Poly’s Voice 2019 merupakan satu program pencarian bakat pengacaraan bidang penyiaran dan komunikasi membabitkan penyertaan dari wakil pelajar dari 36 Politeknik dari seluruh Malaysia yang bermula mulai 24 hingga 27 Julai 2019 yang lalu. Program ini bertujuan untuk melahirkan graduan yang berketrampilan, petah bicara, bijak, yakin dan berani berkomunikasi bagi menghadapi pasaran kerja dan menjadi warganegara yang holistik, seimbang dan berkualiti.

Edisi ke-3 Poly's Voice yang diadakan baru-baru ini diurusetiakan oleh Politeknik Kuching, Sarawak dengan penganjur utama Malaysia Polytechnics Communication Enhancement Council (MPCEC), Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.

Hadiah kemenangan yang terdiri dari Piala Pusingan, sijil dan wang tunai RM1000.00 telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Penyiaran Kawasan Sarawak, Zulkifli Mohamad. Turut hadir bersama dalam penyampaian hadiah ialah Wan Zulkifly Wan Zakaria, Timbalan Pengarah, Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.

PENAFIAN

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) adalah tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan mana-mana maklumat dari laman sesawang ini.

Dasar Privasi  •  Dasar Keselamatan

HUBUNGI KAMI

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin
Pauh Putra, 02600 Arau, Perlis

Telefon : 604 988 6200

Faks : 604 988 6300

E-mel : info[at]ptss.edu.my