Arau - Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) menjadi juara dalam bidang media kreatif apabila memenangi tempat pertama bagi kategori animation, video dan digital art dalam Pertandingan Techcreavery 2019 yang telah diadakan mulai 14-15 Oktober 2019 yang berakhir baru-baru ini di Dewan Harumanis, PTSS.

PTSS memenangi tempat pertama bagi kategori animation dengan tajuk projek Lunar, kategori video dengan tajuk projek 11 angka dan kategori digital art dengan tajuk projek Teacher. PTSS juga turut memenangi tempat kedua dalam kategori animation, video, interactive media dan digital art serta tempat ketiga dalam kategori animation, interactive media dan digital art.

Menurut Mohd Noor Shahuddin, Ketua Zon Utara Politeknik Malaysia ketika merasmikan penutupan Pertandingan Techcreavery 2019, "Dalam pertandingan ini, 16 buah politeknik terlibat dan pertandingan ini suatu inisiatif untuk mengubah pendidikan teknikal dan vokasional kepada penghasil produk berteknologi tinggi dalam 2 bidang utama iaitu media kreatif dan teknologi maklumat." Katanya lagi, "Bidang media kreatif melibatkan video pendek, animasi, media interaktif dan lakaran digital. Manakala teknologi maklumat melibatkan sistem jaringan pembangunan aplikasi perisian, keselamatan maklumat dan teknologi permainan."

Mohammad Haziq Haikal Mohamad, Ketua Projek Video PTSS iaitu kumpulan yang memenangi tempat pertama dalam kategori video dengan tajuk projek 11 angka berkata, "Video ini kami telah hasilkan selama lebih kurang 3 bulan yang menceritakan tentang keburukan budaya prank dan mengenengahkan IR 4.0. Kami juga berasa bangga kerana berjaya mendapat tempat pertama kategori ini dan dalam masa yang sama menaikkan imej dan nama PTSS."

Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan berkata, "Ini merupakan pencapaian terbaik pelajar PTSS dalam Techcreavery 2019 dan kemenangan pelajar dalam bidang media kreatif telah mengharumkan nama PTSS dan juga negeri Perlis. Tanpa usaha dan latihan yang bersungguh-sungguh oleh pelajar dan pensyarah kejayaan ini tidak mungkin akan tercapai."

Seramai 169 orang pelajar politeknik di seluruh Malaysia telah mengambil bahagian dalam Techcreavery 2019. Techcreavery 2019 merupakan satu pertandingan yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti kepada pelajar dari Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dan juga Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual dari seluruh Politeknik Malaysia. Objektif utama pertandingan ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar secara kreatif dan inovatif dalam menghasilkan produk yang berkualiti tinggi yang dapat memenuhi keperluan industri.

Majlis Penutup Techcreavery 2019 telah diadakan di Dewan Harumanis, PTSS. Johan menerima wang tunai RM1,200.00, pingat dan sijil. Majlis disempurnakan oleh Ketua Zon Utara Politeknik Malaysia, Mohd Noor Shahuddin.

PENAFIAN

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) adalah tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan mana-mana maklumat dari laman sesawang ini.

Dasar Privasi  •  Dasar Keselamatan

HUBUNGI KAMI

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin
Pauh Putra, 02600 Arau, Perlis

Telefon : 604 988 6200

Faks : 604 988 6300

E-mel : info[at]ptss.edu.my